Sunday, February 21, 2016

Cabaran Dalam Perniagaan



 Sebagai usahawan, untuk mendapat keuntungan dan rezeki daripada pulangan modal yang telah dikeluarkan bukanlah sesuatu yang mudah. Sebelum mendapat rezeki yang halal itu, pelbagai cabaran yang harus dihadapi oleh mereka yang bergelar usahawan.

Seperti apa yang kita tahu cabaran adalah sesuatu unsur atau faktor yang menguji kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi. Begitu juga dalam perniagaan, menjalankan sesuatu perniagaan bukan sesuatu kerja yang mudah begitu juga dengan pekerjaan yang lain, kerana ia terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi. Tambahan pula apabila seseorang itu masih mentah dan baru lagi untuk menjejak langkah ke alam perniagaan.

Apakah cabaran yang sering dihadapi oleh para usahawan?

Apakah tindakan yang harus diambil jika menghadapi cabaran-cabaran tersebut?

Pada kali ini kami akan kisarkan mengenai cabaran-cabaran dalam perniagaan dan juga akan menghuraikan apa yang perlu dilakukan jika mengalami cabaran-cabaran tersebut.

Di sini terdapat empat cabaran hebat yang perlu ditempuh sebelum berjaya menjadi seorang usahawan yang hebat. Empat cabaran ini juga jika tidak dibendung, ia bakal merencatkan perkembangan perniagaan para usahawan secara tidak langsung.

Cabaran Pertama :
MENDAPAT TENTANGAN KELUARGA
  • ·        Ramai yang hanya mendiam diri apabila ada dikalangan ahli keluarga yang memulakan perniagaan. Lebih buruk lagi apabila ada dikalangan ahli keluarga yang memberikan reaksi negatif berkenaan dengan perniagaan yang mahu diceburi.
  • ·        Kuatkan hati, akal dan minda untuk terus mengatasi masalah ini. Ingatlah bahawa suatu hari nanti mereka pasti akan mula mengubah persepsi mereka setelah melihat kejayaan kita.


Cabaran Kedua :
TIDAK MEMPUNYAI ALIRAN TUNAI KONSISTEN
  • ·        Punca utama sesuatu perniagaan gulung tikar dalam tempoh kurang tiga tahun adalah tidak mempunyai aliran tunai yang konsisten dan pengurusan kewangan yang mantap.
  • ·        Jalan penyelesaian untuk masalah ini, usahawan amat digalakkan mempelajari bagaimana mengurus kewangan dengan lebih sistematik dan berkesan. Terdapat banyak agensi kerajaan yang menganjurkan bengkel dan seminar pengurusan kewangan yang boleh dirujuk.


Cabaran Ketiga :
KURANGNYA ILMU DAN STRATEGI PERNIAGAAN
  • ·        Untuk pengetahuan, ilmu ini bukan sahaja dituntut semata-mata untuk menjawab soalan peperiksaaan sahaja. Ilmu juga perlu dicari supaya kita cukup bersedia menghadapi apa sahaja ‘ persoalan ’ yang muncul dalam perniagaan kita.
  • ·        Sentiasalah belajar dari semasa ke semasa berkenaan dengan ilmu-ilmu perniagaan yang baru agar perniagaan boleh kekal konsisten dan lebih berjaya pada masa hadapan.


Cabaran Keempat :
MASA ANTARA KELUARGA DAN PERNIAGAAN
  • ·        Kejayaan bererti pengorbanan dan sekiranya seseorang usahawan tidak sanggup berkorban masa dan tenaga untuk perniagaan, kejayaan tidak akan berani menghampiri anda.
  • ·        Memang benar keluarga itu adalah yang pertama, tetapi kita harus menerangkan kepada mereka situasi kita sekarang ini supaya mereka faham dan tidak banyak mengambil masa kita agar kita boleh kekal fokus menguruskan perniagaan.
  • ·        Dengan itu jangan pula mengambil jalan dengan tidak memberi masa langsung dengan keluarga.
  • ·        Apabila kita sudah mempunyai jalan kehidupan yang baru, tambahan pula mempunyai kerjaya yang banyak sibukkan diri, kita perlulah bijak dalam menguruskan masa agar tiada mana-mana pihak yang akan diabaikan.

Selain daripada empat cabaran tersebut, terdapat banyak lagi cabaran yang dihadapi. Masalah rasuah juga turut menjadi isu yang tidak pernah selesai. Rasuah merupakan kudis yang semakin membarah di kalangan masyarakat Malaysia.

Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut.

Dalam era yang menuju kemodenan dan globalisasi dunia tanpa sempadan, rakyat Malaysia masih lagi terpalit dengan isu-isu intergriti dan akauntabiliti yang boleh meranapkan peradaban bangsa. Rasuah juga mampu memusnahkan perniagaan yang dibina.

Apa yang penting untuk para usahawan ialah mereka perlu peka dan mahir dalam mengatasi apa jua cabaran yang mendatang. Dengan itu, terdapat tiga perkara penting ini perlu ada dalam diri usahawan. Antaranya :

1.       Kemahiran Berkomunikasi

Ø Teknik-teknik komunikasi berkesan penting untuk dikuasai oleh setiap usahawan kerana ia boleh memudahkan mereka untuk berunding, bermesyuarat, tawar-menawar dalam mendapatkan sesuatu kontrak perniagaan dengan pihak lain.
Ø Selain itu, dengan menguasai bahasa asing, usahawan juga mungkin agak sukar untuk ditipu oleh para usahawan yang lain terutama apabila menjalankan perniagaan dengan pihak luar negara.
Ø Para usahawan juga perlu menguasai bahasa asing selain dari fasih bahasa ibunda. Antara bahasa asing yang mungkin boleh dikuasai oleh usahawan adalah Bahasa Inggeris, Mandarin dan Bahasa Arab.

2.     Sentiasa Mempelajari Ilmu Baru

Ø Kekurangan ilmu dalam bidang perniagaan dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan asas perniagaan turut menyumbang kepada cabaran yang perlu dihadapi oleh seorang usahawan.
Ø Oleh yang demikian, jika berpeluang mahupun diberikan peluang untuk mendalami sesuatu ilmu baru, setiap usahawan itu hendaklah berusaha mempelajari dan menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan untuk melonjakkan diri menjadi ushawan yang cemerlang dan terbilang.

3.     Mempunyai Jati Diri Yang Kuat Dan Kukuh

Ø Dalam menuju era globalisasi dan dunia tanpa sempadan, isu dan cabaran dalam dunia keusahawanan juga semakin mencabar, setiap usahawan mestilah mempunyai jati diri yang kuat dan kukuh.
Ø Walau apa jua cabaran yang dihadapi oleh usahawan, mereka hendaklah sentiasa sabar dan ikhlas dalam apa jua bidang perniagaan yang diceburi.
Ø Untuk menjadi usahawan berjaya bukanlah sesuatu yang mudah, namun bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.



Oleh yang demikian, setiap usahawan muslim sangat dituntut untuk berpegang pada jalan ALLAH S.W.T. dengan sentiasa merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah. Perkara-perkara mahupun amalan-amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam mestilah dijauhi. Akhir kata, bidang keusahawanan adalah satu bidang yang mulia di sisi agama. Perniagaan adalah salah satu sumber pekerjaan yang sangat digalakkan dalam Islam. Tanganilah cabaran yang mendatang dengan berpandukan kitab yang telah diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya yang mulia. Janganlah melakukan sesuatu yang hanya menambahkan dosa dan mengurangkan pahala di akhirat sana.



RUJUKAN